ROSMAH menerima cenderahati daripada seorang kanak-kanak sejurus tiba di hotel penginapannya, semalam.

Colombo (Sri Lanka): Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor tiba, di sini, semalam untuk lawatan dua hari bagi menghadiri simposium autisme hari ini.

Pesawat yang membawa Rosmah yang juga Penaung Program Permata bagi pendidikan awal kanak-kanak mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Bandaranaike, di sini, jam 11.15 pagi waktu tempatan (kira-kira jam 1.45 petang waktu Malaysia).

Rosmah dijadual menyampaikan ucapan pada Simposium Meminimumkan Jurang Penyampaian Perkhidmatan untuk Autisme, di Sri Lanka, di mana beliau akan berkongsi pandangan dan pengalaman serta cabaran Permata dalam menyediakan bantuan untuk kanak-kanak autistik di Malaysia.

Permata dalam proses menubuhkan Pusat Permata Kurnia di Kuala Lumpur, yang memberi tumpuan kepada pendekatan dan kaedah alternatif dalam intervensi awal untuk kanak-kanak autistik berumur antara dua dan enam tahun.

Selepas simposium itu, Rosmah dijadual melawat Wad Pediatrik dan Unit Pemulihan di Hospital Kanak-Kanak Lady Ridgeway, di sini, yang menyediakan rawatan untuk lebih 1,000 pesakit autistik berdaftar.

Pada sebelah petang, beliau dijadual menghadiri konsert tahunan prasekolah Carlton sebagai tetamu kehormat. Konsert itu akan dihadiri Presiden Sri Lanka Mahinda Rajapaksa dan Wanita Pertama Shiranthi Rajapaksa yang merupakan pengasas dan penaung institusi itu.
– BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Disember 2014 @ 9:27 AM