Namawee (kanan) berbincang bersama peguam.

Muar: Pengarah, komposer dan penyanyi rap kontroversi, Namawee dijatuhkan hukuman Perintah Kehadiran Wajib tiga bulan dan bon jaminan RM5,000 atas dakwaan cuba mengaibkan kehormatan seorang kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada Oktober 2009 oleh Mahkamah Sesyen Muar, di sini semalam.

Namawee atau nama sebenarnya, Wee Meng Chee, 31, membuat pengakuan bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan Ketua Unit Pendakwaan Johor Saiful Edris Zainuddin di hadapan Hakim Roziyanti Ahmad.

Berikutan pengakuan bersalah itu, Roziyanti memerintah Namawee dihukum penjara selama tiga bulan atas kesalahan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, peguam tertuduh, Hishamudin A Aziz dalam rayuannya kepada mahkamah meminta hukuman diringankan berikutan tertuduh mengaku bersalah.

Roziyanti menggantikan hukuman penjara dengan hukuman Perintah Kehadiran Wajib selama tiga bulan yang dikendalikan Jabatan Penjara Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Disember 2014 @ 7:31 AM