TERTUDUH diiringi polis selepas mendengar pertuduhan, semalam.

Kuantan: Dua sahabat mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam, terhadap pertuduhan mencuri pelbagai jenis barangan elektronik bernilai RM6,000, bulan lalu.

Tertuduh, Chua Song Guan, 32, dari Lorong Air Putih dan Tay Kok Wah, 36, dari Taman Marimas, di sini, membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan kepada mereka di hadapan Majistret Jesseca Daimis.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa mencapai niat bersama mencuri tiga komputer, dua mesin pencetak, mesin pengimbas, komputer riba dan dua kamera litar tertutup (CCTV) yang semuanya bernilai RM6,000 kepunyaan A7 Kepm Tech Sdn Bhd.

Tertuduh melakukan kesalahan itu di premis A7 Kepm Tech, Lorong Seri Setali 1, di sini, antara jam 3 hingga 6 pagi pada 10 November lalu.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Fatinah Abu Bakar manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada sebarang jaminan ditawarkan pihak pendakwaan, namun kedua-dua tertuduh memohon supaya mahkamah membenarkan mereka diikat jamin sementara menanti tarikh perbicaraan.

Dalam rayuannya, Song Guan memberikan alasan perlu menanggung bapanya dengan pendapatan sebanyak RM1,500 sebulan sebagai pemandu lori manakala Kok Wah memaklumkan dia perlu menyara anak serta ibunya dengan pendapatan sebanyak RM2,000 sebulan sebagai mekanik.

Jesseca membenarkan tertuduh masing-masing diikat jamin RM4,000 seorang dengan seorang penjamin bercagar sebelum menetapkan 16 Disember ini sebagai tarikh sebutan pra bicara.

Sementara itu, Kok Wah turut berdepan satu lagi pertuduhan membabitkan kesalahan menyimpan harta curi bernilai RM8,000, bulan lalu, bagaimanapun dia mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berkenaan.

Pihak pendakwaan menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 dan selepas rayuan dibuat, Jesseca membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dan menetapkan 16 Disember ini untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Disember 2014 @ 7:25 AM