Melaka: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menggariskan pelbagai aspek termasuk tiga elemen penting yang akan diambil kira dalam memperkasakan Akta Hasutan 1948 bagi menjamin kestabilan dan keharmonian negara.

Menterinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tiga elemen itu membabitkan hasutan di Internet terutamanya melalui media sosial, sensitiviti keagamaan serta isu membawa keluar Sabah dan Sarawak dari Malaysia.

Katanya, beliau bersama penasihat undang-undang KDN akan mengadakan perbincangan dengan Peguam Negara dan pengamal undang-undang untuk meneliti pelbagai aspek yang perlu diperkasakan dalam pindaan akta itu.

“Ketika Akta Hasutan sedia ada dibuat, masih belum wujud media sosial dan beberapa medium komunikasi lain. Pada 20 atau 30 tahun akan datang, mungkin istilah yang ada pada hari ini tidak lagi sesuai, maka ia harus diperkemaskan untuk generasi akan datang.

“Pada masa ini juga terlalu banyak isu menyentuh sensitiviti keagamaan dibangkitkan bukan hanya dari orang Islam, tetapi juga sebaliknya, perkara ini tidak seharusnya dibiarkan dan tindakan segera ke atas mana-mana individu atau organisasi perlu dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program ‘From Bikers 4 Gaza’ dan Karnival Motosikal Melaka di Autocity, Ayer Keroh, di sini, semalam. Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron dan Ketua Polis negeri Datuk Chuah Ghee Lye.

Program ‘From Bikers 4 Gaza’ bertujuan meraih sumbangan bagi membantu rakyat Gaza yang ditindas rejim Israel manakala Karnival Motosikal Melaka selama dua hari bermula Sabtu lalu menghimpunkan lebih 200 motosikal pelbagai jenis serta menyediakan 30 khemah pameran jualan produk motosikal.

Ahmad Zahid berkata, isu membawa keluar Sabah dan Sarawak juga perlu diambil kira kerana pada ketika ini, tiada tindakan diperuntukkan undang-undang melalui akta itu terhadap mana-mana individu atau organisasi yang mahu membawa negeri itu keluar dari Malaysia.

“Pindaan akta ini dijangka dibentang dan dibahaskan pada persidangan Parlimen, Mac tahun depan, dan sekiranya diluluskan serta mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Peguam Negara akan mengambil tindakan,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini peruntukan undang-undang memberi kuasa kepada SKMM melalui Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 untuk mengambil tindakan ke atas salah laku Internet, justeru suruhanjaya itu digesa menjalankan siasatan dengan kerjasama PDRM sebelum kertas siasatan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menegaskan, kerajaan tidak akan sama sekali berkompromi dalam sebarang desakan mana-mana pihak untuk membawa pulang abu mayat pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng.

“Berapa ramai yang mati (akibat kekejaman Chin Peng) berbanding (mereka) yang mahu menghormati Chin Peng? Kita tidak benarkan sama sekali (bawa pulang abu mayat) kerana kita amat menghormati sensitiviti keluarga anggota polis, tentera dan juga rakyat Malaysia yang terkorban angkara kekejaman Chin Peng,” katanya.

Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan desakan sebuah badan bukan kerajaan yang mahu kerajaan Malaysia menghormati ‘Hatyai Peace Accord’ pada 2 Disember 1989 yang dicapai antara PKM dan kerajaan Thailand dengan membenarkan abu mayat Chin Peng dibawa pulang ke Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Disember 2014 @ 5:12 AM