Kuala Lumpur: “Perbuatan baik kita terhadap ibu bapa satu amal yang mendekatkan diri kepada Allah dan menjadi tebusan atau kifarat terhadap dosa yang dilakukan,” kata pakar motivasi dan kaunseling Klinik Hushim Motivation and Counselling Consultancy Hushim Salleh.

Beliau mengulas laporan muka depan Metro Ahad semalam yang memaparkan ketabahan penghidap barah lidah dan kelenjar Sharuddin Mohd Ali, 31, dari Kampung Jeram Batu 20, Kuala Selangor yang sanggup berkorban menjaga ibu bapanya yang uzur serta pengorbanan Muhd Fikri Syariman Mohd Fauzi, 16, dari Kota Bharu, Kelantan yang terpaksa membahagikan masa antara pelajaran dan menjaga ibu yang lumpuh.

Menurutnya, dalam Islam, kedudukan ibu bapa amat disanjung tinggi sebagaimana firman Allah dalam Surah al-Isra ayat 23 yang antara lain bermaksud, ‘dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa.’

“Ayat itu jelas memuliakan martabat ibu bapa pada tahap tertinggi dan jika anak berbuat kebaikan kepada orang tua, ganjaran diterima sangat besar.

“Rugilah seandainya kita yang masih mempunyai ibu bapa, tetapi tidak berupaya meraih ganjaran pahala dijanjikan Allah untuk anak berbakti kepada mereka dan amat rugi jika peluang keemasan berbakti kepada orang tua dilepaskan begitu saja,” katanya kepada Harian Metro, semalam.

Katanya, melakukan amal bakti dan menjaga ibu bapa jalan terbaik membersihkan diri daripada debu dosa.

“Dalam kes Sharuddin dan Muhd Fikri ini, kedua-dua mereka beruntung kerana berpeluang membahagiakan ibu bapa masing-masing, lebih-lebih lagi orang tuanya lanjut usia.

“Saya percaya ganjaran besar menanti mereka di dunia akhirat,” katanya.

Katanya, pengorbanan Sharuddin yang sanggup mengenepikan penyakit barah tahap tiga itu wajar dipuji dan dijadikan contoh kepada anak muda lain.

“Walaupun diri sendiri menderita sakit barah, tetapi dia sanggup memendam kesakitan dengan mengutamakan kebajikan ibu bapanya yang uzur.

“Begitu juga dengan Muhd Fikri yang membahagikan masa antara belajar dan bekerja sambilan tidak mengabaikan tanggungjawab menjaga ibunya yang lumpuh, sikap ini sangat terpuji dan wajar dicontohi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Disember 2014 @ 5:12 AM