Pelabuhan Klang: Seorang lelaki cedera di badan selepas treler yang dipandunya merempuh sebuah lori tangki dalam kejadian di Jalan Pelabuhan Klang arah Pelabuhan Barat, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 3 petang, mangsa berusia 30-an yang memandu treler dari bandar Klang terbabas ke tengah jalan dan melanggar pembahagi jalan sebelum bertembung dengan lori tangki itu dari arah bertentangan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, akibat pertembungan berkenaan, pemandu treler tersepit di tempat duduk pemandu, manakala pemandu lori tangki tidak cedera.

“Kita menerima panggilan daripada orang ramai memaklumkan kejadian pada jam 3.30 sebelum enam pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang segera ke tempat kejadian.

“Mangsa berjaya dikeluarkan dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk dirawat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 November 2014 @ 5:08 AM