Kuala Terengganu: Selepas dinobatkan sebagai Wira Everest, Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin, 32, atau Qobin mencuba nasib dalam acara pertandingan memancing apabila menyertai Boat On The Road di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu yang bermula hari ini.

Qobin akan menyertai pertandingan kategori Bottom dan memancing di atas rumah bot bersama peserta lain untuk merebut hadiah wang tunai berjumlah RM8,000 serta turut bertanding dalam kategori casting.

Peserta yang menaiki 50 kenderaan pacuan empat roda tiba di Pulau Warisan selepas berkonvoi dari Plaza Tol Gombak selepas pelepasan dilakukan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri II Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman.

Walaupun ada antara jalan di beberapa lokasi dinaiki air, namun peserta yang menaiki pacuan empat roda tabah meneruskan perjalanan sebelum meneruskan perjalanan ke Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu.

Majlis pelepasan disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri Datuk Mohd Jidin Shafee.

Turut hadir, Penasihat Kumpulan Tanggungjawab Sosial Korporat Media Prima Bhd Datuk Ahmad A Talib.

Pengarah Projek Berita Harian Mohd Hazrul Rabu berkata, BOTR 2014 dianjurkan dengan kerjasama kerajaan negeri juga menerima penyertaan daripada pelbagai agensi kerajaan negeri termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan peserta yang mewakili pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

“Tourism Malaysia juga menghantar 15 peserta terdiri daripada pengamal media dan juga blogger,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 November 2014 @ 5:08 AM