Kuala Lumpur: Peratusan calon yang hadir bagi menduduki peperiksaan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) termasuk calon luar bandar menunjukkan peningkatan selepas kaedah baru iaitu peperiksaan secara atas talian diperkenalkan 30 April lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Joseph Entulu Anak Belaun berkata, secara keseluruhannya kaedah baru yang diperkenalkan itu menunjukkan kesan positif bagi menggantikan kaedah konvensional yang memerlukan calon menduduki peperiksaan di pusat peperiksaan.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan terdapat tiga kali masalah dilaporkan timbul dengan sistem itu, namun ia diatasi menerusi usaha penambahbaikan.

“Kalau mengikut sistem konvensional iaitu pegawai kita ke pusat peperiksaan di Semenanjung sebelum ini hanya 50 peratus saja yang dipanggil menghadiri peperiksaan, di Sabah 54 peratus dan Sarawak 56 peratus.

“Selepas kaedah atas talian ini dilaksanakan, peratusan di Semenanjung meningkat 62 peratus, Sabah 68 peratus dan Sarawak 65 peratus. Peningkatan ini disebabkan lebih ramai calon luar bandar hadir manakala kehadiran calon di bandar sama ada konvensional atau online agak sama.

“Ini bermakna pelaksanaan kaedah ini begitu berkesan untuk membantu calon di luar bandar namun kemungkinan ada juga yang tidak mempunyai capaian Internet tetapi keseluruhannya impak dilihat begitu positif,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Abdul Rahman Mohamad (BN-Lipis) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, di sini, semalam.

Menerusi soalannya, Abdul Rahman mahu SPA mengambil kira keadaan penduduk di luar bandar yang menduduki peperiksaan itu berikutan sukar mendapat capaian Internet.

Terdahulu, beliau dalam pertanyaan lisannya meminta dinyatakan usaha menaik taraf sistem peperiksaan atas talian diperkenalkan SPA bagi mengatasi masalah teknikal membabitkan server kepada calon yang mengalami kesulitan menjawab peperiksaan berkenaan.

Joseph berkata, SPA melakukan persediaan rapi sebelum melaksanakan kaedah baru itu malah, ujian stres terhadap sistem aplikasi, server serta keseluruhan infrastruktur terbabit dijalankan bagi memastikan ia berada dalam keadaan baik.

“SPA membuat persediaan rapi sebelum melaksanakan kaedah ini dengan membuat ujian stres ke atas sistem terbabit dan ia dilakukan secara berterusan. Setakat ini, enam ujian stres dilakukan bagi menilai tahap kematangan dan capaian untuk memastikan ia berada di tahap baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 November 2014 @ 5:11 AM