ANGGOTA bomba meleraikan mesin pengisar untuk mengeluarkan tangan mangsa.

Bukit Mertajam: Akibat terleka ketika memasukkan rumput ke dalam mesin pengisar, seorang lelaki warga Myanmar menahan kesakitan lebih 30 minit kerana tangan kanannya tersepit dalam mesin berkenaan di sebuah ladang di Taman Perwira, Permatang Tinggi di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 3.35 petang itu, dua jari lelaki itu putus manakala pergelangan tangannya hancur menyebabkan dia mengalami pendarahan teruk.

Ketika kejadian, mangsa berusia 59 tahun itu memasukkan rumput untuk dikisar dan diproses sebagai makanan lembu, namun dia terleka hingga tangan kanannya tersepit.

Rakan mangsa yang menyedari kejadian itu cuba membantu dengan menarik tangan mangsa keluar, namun gagal dan mangsa meraung menahan kesakitan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Mertajam Pegawai Bomba Tinggi Wan Ruslan Wan Yahaya berkata, pihaknya bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 3.30 petang.

“Kami dapati mangsa dalam keadaan kesakitan. Usaha menarik keluar tangannya gagal selain bimbang menyebabkan kecederaan lebih parah.

“Kami mendapatkan bantuan ambulans dan pegawai perubatan menyuntik ubat bius agar mangsa berasa kebas, tidak sakit sebelum memulakan usaha mengeluarkan tangannya,” katanya.

Wan Ruslan berkata, pihaknya mengambil masa 20 minit meleraikan mesin pengisar berkenaan untuk mengeluarkan tangan mangsa menggunakan pemutar skru dan spanar. Ia pilihan terbaik bagi mengelak kecederaan bertambah teruk.

“Tangan mangsa dapat dikeluarkan sebelum dikejarkan ke hospital untuk rawatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 November 2014 @ 5:12 AM