Jempol: Seorang lelaki tergamak menikam bekas teman wanitanya hanya disebabkan kecewa cintanya ditolak dalam kejadian di sebuah kedai menjual pakaian di Bandar Seri Jempol, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, wanita berusia 32 tahun dan bekerja sebagai jurujual di kedai berkenaan mengalami kecederaan parah apabila ditikam di perut.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hamzah Alias ketika dihubungi berkata, siasatan pihaknya mendapati suspek berusia 33 tahun berasal dari FELDA Raja Alias 1, dekat sini, masuk ke kedai terbabit lalu menolak mangsa dan menikamnya.

Katanya, ketika kejadian, hanya mangsa serta pemilik premis berada di dalam kedai dan mangsa ditikam berhampiran kaunter.

Menurutnya, mangsa yang juga ibu tunggal tiga anak kini dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban dan keadaannya dilaporkan stabil.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 November 2014 @ 5:07 AM