PINTU stesen minyak dikunci.

Subang Jaya: Tindakan bodoh apabila seorang perompak terperangkap dan gagal melarikan diri selepas menceroboh masuk stesen minyak di SS 14 di sini.

Dalam kejadian jam 6.20 pagi semalam, suspek yang berusia 28 tahun dikatakan datang melakukan rompakan bersendirian selepas mendapati tiada pelanggan di premis itu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, suspek pada mulanya datang ke stesen minyak berkenaan dengan berpura-pura mahu membeli kad prabayar bernilai RM10.

Menurutnya, pekerja stesen itu meminta suspek menyerahkan wang terlebih dulu namun suspek bertindak ganas cuba merosakkan pintu kaca stesen minyak itu yang berkunci dengan rantai.

“Tindakan suspek itu menyebabkan pintu itu renggang dan suspek masuk ke dalam premis sebelum membelasah pekerja stesen minyak terbabit.

“Mangsa yang ketakutan sempat menolak suspek ke lantai dan melarikan diri. Dia meminta bantuan unit polis peronda (MPV) dan unit rondaan bermotosikal (URB) Balai Polis Subang Jaya yang kebetulan melalui kawasan itu,” katanya.

Yahaya berkata, suspek gagal melarikan diri selepas terperangkap di dalam premis berikutan pintu itu sukar dibuka semula dari bahagian dalam.

“Menurutnya, suspek yang terperangkap di dalam premis akhirnya ditahan polis selepas diarah menyerah diri.

“Siasatan mendapati suspek berasal dari Serendah, Hulu Selangor itu, tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.

Menurutnya, motosikal Honda Wave milik suspek dirampas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 November 2014 @ 5:14 AM