Kuala Lumpur: Polis sudah mengenalpasti identiti seorang lelaki tempatan yang disyaki terbabit dalam kes mencuri kenderaan milik pegawai kedutaan Turki pada 22 Oktober lalu.

Dalam kejadian jam 10 malam itu, kenderaan model Toyota Camry dipandu seorang pegawai kedutaan dilarikan ketika mengisi minyak di sebuah stesen minyak di Jalan Ampang di sini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Deputi Superintendan A Asmadi Abdul Aziz berkata, hasil pendedahan gambar suspek dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak itu membolehkan polis mengenal pasti identiti suspek.

Menurutnya, pihak polis menerima dua panggilan dan satu daripadanya memberikan maklumat positif sehingga identiti lelaki itu berjaya dikenal pasti.

“Suspek lelaki terbabit dikenali sebagai G Ganesan, 36. Dia diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju untuk membantu siasatan.

“Saya berharap orang ramai yang mengenali lelaki itu ataupun mengetahui lokasi suspek supaya menyalurkan maklumat ke balai polis berhampiran,” katanya.

Menurutnya, lelaki itu boleh membantu siasatan dijalankan dan seterusnya membawa kepada dalang sebenar jenayah itu.

Menurut Asmadi, pihaknya sudah memaklumkan kepada agensi pihak berkuasa di pintu keluar masuk negara ini supaya memantau kenderaan yang hilang itu.

Dalam kejadian itu, mangsa dikatakan sedang membeli minuman di stesen minyak berkenaan sebelum menyedari keretanya dilarikan penjenayah.

Mangsa yang memandu kereta bernombor pendaftaran 51-06-DC itu cuba bertindak mengejar suspek namun gagal.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 November 2014 @ 5:12 AM