Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Teguran mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap pimpinan UMNO Selangor dilihat sebagai satu pandangan yang positif seperti nasihat daripada ayah kepada anak.

“Kita terbuka apatah lagi teguran dan pandangan beliau sebagai seorang pemimpin yang banyak berjasa kepada Selangor dan negara ini selain tokoh negarawan sudah tentu kita akan ambil perhatian dan kita cuba laksanakan,” kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Noh Omar.

Beliau berkata, sebarang pandangan Dr Mahathir juga akan diambil kira demi menguatkan parti termasuk soal pemilihan yang mana pimpinan UMNO Selangor kini juga terdiri daripada lebih separuh muka baru.

Katanya, pandangan mantan Perdana Menteri berkaitan pengundi muda juga tidak boleh dinafikan sebaliknya UMNO Selangor sudah ada perancangan untuk mendekati pengundi muda dengan menggerakkan aktiviti mendekati pengundi muda serta turun padang melihat apa kehendak mereka.

“Justeru, bagi memastikan kemenangan BN dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang selain UMNO, parti komponen BN Selangor mesti mengenal pasti pengundi dalam parti masing-masing dengan melaksanakan gerak kerja pemutihan ahli parti masing-masing.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 November 2014 @ 5:14 AM