Oleh Mohd Fadly Samsudin dan Mohd Rizal Abdullah
am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: "Kami menerima sekurang-kurangnya empat aduan sehari atau lebih 120 aduan sebulan mengenai kes pembantu rumah 'cabut lari' termasuk yang mencuri harta majikan," kata Presiden Persatuan Majikan Amah Malaysia (Mama), Engku Ahmad Fauzi Engku Muhsein.

Menurutnya, angka itu membayangkan segelintir pembantu rumah warga asing bukan datang ke Malaysia untuk bekerja, tetapi mempunyai niat lain.

"Barangkali pembantu rumah ini turut berpakat dengan ejen mereka. Paling singkat tempoh aduan yang diterima adalah sehari selepas mereka diambil bekerja.

"Kedua, ada pembantu rumah yang lari selepas tempoh percubaan," katanya ketika dihubungi wartawan Harian Metro semalam.

Beliau berkata, masalah besar kepada mangsa pembantu rumah ini adalah ketika membuat aduan dan mendapat pampasan atau ganti rugi daripada ejen yang membekalkan pembantu rumah itu.

"Kebanyakan mangsa membabitkan agensi dan pembantu rumah yang tidak berdaftar. Jadi kebanyakan majikan ini tidak menerima pembelaan sewajarnya.

"Malah, mereka terpaksa pula membayar kos membersih nama pembantu rumah mereka itu kepada pihak imigresen," katanya.

Dia berkata, kebanyakan ejen yang membekalkan pembantu rumah di Malaysia didapati mendapatkan khidmat ejen digelar 'calo' untuk mencari pembantu rumah di negara jiran itu.

"Mereka inilah yang terbabit dalam urusan membayar wang pendahuluan kepada keluarga, membuat pemeriksaan kesihatan dan menguruskan segala dokumen sehingga meletakkan kos sehingga RM5,000 untuk keperluan di sana," katanya.

Menurutnya, ini antara punca majikan terpaksa membayar kos tinggi dan menanggung kerugian apabila pembantu rumah diambil itu melarikan diri.

Beliau menyeru individu yang berhasrat mengambil pembantu rumah warga asing menggunakan ejen bertauliah yang diiktiraf Jabatan Tenaga Kerja, Kementerian Sumber Manusia.

"Di sini, semua agensi berdaftar dan terikat dengan peraturan. Malah kebanyakannya juga adalah ahli Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (PAPA) dan Pertubuhan Kebangsaan Agensi Pekerjaan Malaysia (PIKAP)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 November 2014 @ 5:01 AM