Oleh Rosyahaida Abdullah
rosyahaida@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penekanan kepada pembangunan holistik dalam sektor pendidikan negara berasaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan berhasil meningkatkan pencapaian murid secara signifikan pada tahun ini.

Ini secara tidak langsung menunjukkan tanda positif kepada perkembangan tahun kedua Gelombang Pertama Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM) yang berbaki dua bulan saja lagi.

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof (gambar kecil) berkata, pada akhir tahun 2013 sebanyak 14 inisiatif menjadi keutamaan KPM selaras dengan Indeks Prestasi Utama (KPI) menteri berteraskan lima aspirasi sistem iaitu akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan.

“Kita mendapati inisiatif itu menunjukkan hasil positif termasuk inisiatif penyediaan infrastruktur asas di semua sekolah,” katanya.

Menurutnya, sebanyak 1,598 sekolah dalam peruntukan Penyelenggaraan Kecil Bangunan dan 1,694 sekolah dalam peruntukan Pakej Perancangan Khas (PRK) sudah dikenal pasti bagi pembaikan asas tahun ini.

“Kita sudah melihat pentaksiran untuk pelajar Tingkatan 3 pada tahun ini merangkumi empat komponen iaitu Pentaksiran Sekolah (PS), Pentaksiran Psikometrik (PPsi), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) serta Pentaksiran Pusat (PP) yang selesai dilaksanakan bulan lalu,” katanya.

Dr Khair menjelaskan, latihan kepada guru diteruskan pada tahun ini antaranya untuk Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), Matematik dan Sains.

Malah lebih 14,000 guru sudah dilatih secara berperingkat menerusi program Pro-ELT (English Language Teachers) sejak tahun lalu bagi meningkatkan satu band profiensi Bahasa Inggeris mereka mengikut tafsiran Common European Framework of References.

“Sepertimana saya nyatakan sebelum ini, guru adalah nadi kejayaan PPPM, justeru kebajikan dan kemahiran guru sentiasa menjadi keutamaan Kementerian untuk dipertingkatkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Mengulas lanjut, Khair turut berkongsi perkembangan positif dalam peluasan akses kepada murid melalui inisiatif meningkatkan penyertaan dalam bidang vokasional di peringkat menengah atas.

Menurutnya, daripada hanya 20,289 pelajar lepasan Tingkatan 3 yang didaftarkan mengikuti pendidikan vokasional, pada tahun ini angka itu meningkat kira-kira 10 peratus kepada 22,079 pelajar.

“Hasil kerjasama rapat dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk pengurus program, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah, Institut Aminuddin Baki dan Institut Pendidikan Guru (IPG), kita bangga 14 inisiatif utama yang ditetapkan pada tahun ini menunjukkan prestasi baik dan konsisten setiap minggu,” katanya.

Antara inisiatif itu termasuk Program Transformasi Daerah (PTD), peningkatan enrolmen dan kualiti prasekolah, pelaksanaan piagam pemimpin sekolah serta penyediaan infrastruktur asas di semua sekolah.

Beliau melahirkan rasa syukur kerana kerjasama erat semua pihak menampakkan hasil positif dan berkongsi kejayaan sekolah cemerlang dalam pentaksiran antarabangsa yang boleh dijadikan iktibar semua pihak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 November 2014 @ 5:16 AM