KEADAAN dua kereta yang terbiar.
Oleh Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my


Rawang: Mencegah lebih baik daripada merawat penyakit maut itu. Itu antara keluhan penduduk pangsapuri Azalea Court, Bandar Tasik Puteri di sini, yang dibelenggu kebimbangan mengenai wabak denggi akibat wujud takungan air di rumah tidak berpenghuni dan kereta terbiar di kawasan itu.

Keadaan itu mengundang kepada pembiakan jentik-jentik dan nyamuk aedes terutama di dalam kediaman kosong itu hingga menyebabkan penduduk sentiasa berjaga-jaga selain kerap melakukan operasi pembersihan berikutan jumlah kes dilaporkan agak merisaukan mereka.

Penduduk mendakwa dalam tempoh lima bulan tahun ini, sebanyak 10 kes denggi dicatatkan dan lebih mengejutkan apabila jentik-jentik turut dikesan di dalam dua kereta terbiar di parkir kawasan perumahan terbabit.

Sepanjang tempoh sehingga pertengahan bulan lalu, Selangor mencatatkan jumlah kes denggi tertinggi iaitu 38,263 dengan purata kes harian 140 sehari.

Penduduk Mohd Jais Dagang, 44, yang menetap di pangsapuri itu sejak 10 tahun lalu berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan permasalahan itu antaranya berpunca daripada puluhan rumah kosong kebanyakannya di tingkat atas yang tidak mempunyai tingkap kerana sudah pecah.

“Apabila hujan, air akan masuk menerusi tingkap itu dan menyebabkan berlaku takungan di dalam rumah berkenaan yang sekali gus menjadi lokasi ‘kegemaran’ jentik-jentik serta nyamuk aedes.

“Selain itu, faktor lain mungkin disebabkan keadaan tangki air yang tidak ditutup selain sinki dan lubang tandas mengandungi air bersih, namun tidak disalurkan secara betul,” katanya ketika ditemui Metro Ahad.

Menurutnya, pihak berkaitan sememangnya ada melakukan semburan (fogging), namun masalah denggi itu masih tidak dapat diselesaikan sepenuhnya.

“Sehubungan itu, saya berharap pihak berkenaan mengambil tindakan segera mengatasi permasalahan itu apatah lagi ketika musim hujan kini yang menimbulkan keresahan kepada ratusan penduduk,” katanya.

Bagi Rozman Ali, 58, perkara itu jelas terbukti kebenarannya apabila anaknya berusia 34 tahun disyaki menghidap denggi berdarah bulan lalu.

“Pada waktu itu, saya sememangnya terkejut apabila dimaklumkan doktor mengenai perkara berkenaan apatah lagi melihat keadaan anak yang mengalami demam dan diarah menjalani pemeriksaan perubatan lanjut.

“Namun, mujur anak saya kembali sembuh seperti sedia kala dan berharap kejadian sama tidak berulang kepada penduduk lain terutama kanak-kanak,” katanya memaklumkan pangsapuri itu merangkumi lima blok dan mempunyai lebih 100 keluarga.

Sementara itu, penduduk Hisham Mokhtar, 42, berkata, kira-kira 40 unit pangsapuri di situ sebelum ini disewa sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) untuk dijadikan asrama penginapan sementara.

“Selepas kampus pelajar IPT itu siap dibina, ia menjadi kosong dan terbiar sejak setahun lalu, sekali gus dipercayai menjadi faktor penyebaran wabak denggi di kawasan ini,” katanya.

Dakwanya, dua kereta yang dikesan mempunyai jentik-jentik di kawasan parkir perumahan itu terbiar selepas musnah terbakar kira-kira tiga bulan lalu.

Kata Hisham, dia tidak mahu menyalahkan sesiapa, namun berharap pihak bertanggungjawab mencari jalan penyelesaian terbaik bagi mengatasi permasalahan berkenaan yang dianggap serius kerana membabitkan nyawa penduduk.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 November 2014 @ 5:11 AM