Jamaludin dan Zaini bersama anak melihat Ijazah Sarjana Muda Seni Halus Muhamad Afiq yang meninggal dunia akibat barah.
Oleh Kalsom Rahmathulah
am@hmetro.com.my

Georgetown: Ibu kepada graduan Ijazah Sarjana Muda Seni Halus Universiti Sains Malaysia (USM) Allahyarham Muhamad Afiq Jamaluddin, 24, hampir menitiskan air mata ketika menerima ijazah yang dianugerahkan kepada Muhamad Afiq pada majlis Konvokesyen USM ke-50 di sini, kelmarin.

Allahyarham yang juga anak sulung daripada lima beradik menerima surat untuk bergraduasi seminggu sebelum meninggal dunia pada Ogos lalu akibat barah perut yang dihidapi sejak April 2012.

Ibunya, Zaini Ishak, 51, berkata, ijazah itu akan dijadikan motivasi kepada anaknya yang lain sebagaimana nasihat arwah kepada adik supaya tidak berputus asa dalam apa jua perkara.

“Muhamad Afiq anak yang baik serta abang bertanggungjawab, dia cukup prihatin berkaitan perkembangan adik-beradiknya.

“Setiap kali balik cuti semester, dia menghabiskan masa di rumah dan membantu adik-beradiknya jika mereka berdepan masalah dalam pelajaran,” katanya pada sidang media di USM.

Hadir sama bapa Allahyarham, Jamaluddin Kasa, 53, serta tiga anak mereka. Ijazah disampaikan oleh Pro Canselor USM Tan Sri Datuk Musa Mansur.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 November 2014 @ 5:10 AM