OTHMAN (dua kanan) menyampaikan Anugerah Tokoh Ma’al Hijrah 1436H kepada Wan Asiah sempana sambutan Ma’al Hijrah peringkat Wilayah Persekutuan, semalam.
Oleh Fuad Hadinata Yaacob
hadinata@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Saya pernah lalui kehidupan pada zaman penjajah dan tidak mahu generasi hari ini lalui keadaan itu yang sangat perit dan pahit, oleh itu marilah kita semua bersatu demi agama, bangsa dan negara tercinta,” kata To’ Puan Wan Asiah Ahmad, 76, penerima Tokoh Ma’al Hijrah 1436H/2014M peringkat Wilayah Persekutuan, di sini, semalam.

Beliau berkata, keamanan dan pemerintahan pada masa ini perlu dikekalkan demi masa depan generasi hari ini, malah berharap golongan muda terus mempertahankan apa yang dikecapi ketika ini.

“Tiada siapa boleh menjaga negara kita melainkan diri sendiri...kitalah yang menjadi penegak kepada bangsa, agama dan negara.

“Marilah kita sama-sama nekad dan berikrar membangunkan bangsa kita dan jangan biarkan kaum Melayu jatuh tersungkur,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan 1436H/2014M di Kompleks Pusat Islam di sini semalam.

Majlis berkenaan dirasmikan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Othman Mustapha.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Paimuzi Yahya.

Program menghimpunkan lebih 1,500 peserta itu bertujuan memperingati peristiwa dan kesan hijrah Rasulullah SAW terhadap umat Islam dan mengeratkan silaturahim antara satu sama lain.

Wan Asiah terpilih berikutan sumbangannya terutama kepada masyarakat khususnya di Wilayah Persekutuan.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 November 2014 @ 5:09 AM