SEBAHAGIAN lelaki transgender gembira selepas Mahkamah Rayuan memutuskan Undang-Undang Syariah Negeri Sembilan yang melarang lelaki berpakaian seperti seorang wanita adalah melanggar Perlembagaan di Putrajaya, semalam.

Kuala Lumpur: Keputusan Mahkamah Rayuan, semalam yang mengisytiharkan ketetapan Undang-Undang Syariah Negeri Sembilan bahawa lelaki Islam berpakaian seperti wanita adalah perbuatan jenayah sebagai tidak sah mengejutkan umat Islam dan dikhuatiri seolah-olah mengiktiraf golongan itu di Malaysia.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) Musa Awang berkata, keputusan Mahkamah Rayuan itu memberi peluang kepada golongan transgender lain yang dihukum mengikut enakmen sama untuk mencabar keputusan itu di mahkamah.

“Kita khuatir kesan kepada orang Islam keseluruhan kerana keputusan itu seolah-olah mengiktiraf transgender dan diberi hak untuk mengamalkan apa yg mereka percaya betul sedangkan peruntukan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 itu diluluskan oleh dewan undang-undang negeri berdasarkan kajian yang mendalam serta mendapatkan pandangan ulama dan ahli akademik.

“Faktor kedua ialah kesan kepada undang-undang itu sendiri kerana Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan diguna pakai sejak 1992 dan tidak pernah dipertikaikan,” katanya kepada Harian Metro di sini, semalam.

Menurutnya, enakmen itu diluluskan berdasarkan Jadual 9 Senarai 2 Perlembagaan Persekutuan yang memberi kuasa kepada negeri untuk mengadakan peruntukan dan hukuman bagi kesalahan yang berkaitan rukun Islam.

“Malah, peruntukan yang sama juga terdapat di kebanyakan negeri lain iaitu larangan kepada lelaki Islam berpakaian wanita di tempat awam, dengan keputusan mahkamah ini dibimbangi makin ramai transgender akan menjadikan kes ini sebagai rujukan di mahkamah di masa depan.

“PGSM meminta Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) serta kerajaan negeri untuk mengemukakan rayuan ke Mahkamah Persekutuan bagi memutuskan isu Perlembagaan itu,” katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 November 2014 @ 5:15 AM