PEGAWAI penguat kuasa kastam membuat pemeriksaan di kedai runcit di Senawang, semalam.
Khairul Najib dan Azma Razana Johari
am@hmetro.com.my

Seremban: Empat lagi peniaga termasuk seorang wanita warga asing yang menjalankan kegiatan menjual rokok seludup ditahan dalam Ops Outlet anggota penguat kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Gua Musang, Kuala Terengganu, Simpang Empat di Butterworth, Senai dan Senawang kelmarin dan semalam.

Malah, dalam operasi di Kampung Padang Nenas, Kuala Terengganu, anggota penguat kuasa turut menemui rokok seludup dalam rumah tinggal dipercayai dijadikan stor penyimpanan.

Dalam operasi di Pasar Besar Gua Musang, seorang peniaga ditahan manakala 27 karton rokok John dan Gudang Garam dirampas. Peniaga itu dipercayai menjual rokok seludup berkenaan secara kecil-kecilan kepada pelanggan utamanya.

Dalam dua operasi sama di Simpang Empat, seorang peniaga ditahan kerana menjual rokok seludup dan dalam serbuan di pasar raya di kawasan sama, seorang peniaga ditahan. JKDM turut merampas beberapa karton rokok seludup.

Operasi di sebuah kedai Jamu di Senai pula mendapati pemilik perniagaan itu turut menjual rokok seludup sebagai cara menambah pendapatan dan dia ditahan dan rokok seludup miliknya dirampas.

Dalam operasi seterusnya di Senawang, seorang peniaga turut ditahan dan 13 karton rokok seludup dirampas.

Kejayaan berterusan dalam operasi JKDM melalui Ops Outlet sejak sembilan bulan lalu membuktikan pihak berkuasa berkenaan serius dalam menangani penjualan rokok seludup dalam kalangan peniaga sama ada peniaga runcit atau pasar raya.

Malah, JKDM turut bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membanteras kegiatan penyeludupan dan penjualan rokok ini.

Hasil Ops Outlet sejak Mac lalu, jumlah rokok seludup yang berada di pasaran negara ini dapat dikurangkan 3.1 peratus dari 38.9 peratus pada suku ketiga tahun lalu (November-Disember) kepada 35.8 peratus. Pengurangan ini adalah angka terbesar sejak 2011.

Melalui ops ini juga, peniaga yang didapati bersalah turut dijatuhi hukuman denda dan penjara.

Namun, ketika rokok seludup putih menunjukkan penurunan, kretek seludup pula meningkat 0.1 peratus. Lima jenama rokok seludup utama ialah Gudang Garam, John, Canyon, U2 and Era.

Dari 2 Januari hingga 12 Ogos lalu, JKDM sudah menjalankan serbuan ke atas 4,317 premis. Daripada jumlah itu, 1,444 premis didapati menjual atau menyimpan rokok seludup. Seramai 952 peniaga pula ditahan dan 455 didakwa di mahkamah serta dijatuhi hukuman.

Jumlah keseluruhan rokok seludup yang dirampas adalah 190 juta batang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 November 2014 @ 5:09 AM