NAJIB menerima cenderahati daripada Johan sambil diperhatikan Chua (kiri) dan Abdul Wahid (dua dari kanan) pada Majlis Perasmian Persidangan Akauntan Antarabangsa 2014, semalam.
Oleh Fuad Hadinata Yaacob
hadinata@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak menegaskan kerajaan akan tetap meneruskan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) mengikut jadual pada 1 April tahun depan.

Perdana Menteri berkata, semua syarikat termasuk badan profesional diharap bersedia dengan pelaksanaan berkenaan.

Katanya, sehingga kini kira-kira 120,000 syarikat sudah mendaftar dan beliau menjangkakan sehingga akhir tahun ini 200,000 syarikat akan berbuat demikian.

“Kita tidak akan berpatah balik (pelaksanaan GST) dan saya berharap masyarakat, syarikat serta badan profesional bersedia dengan pelaksanaannya tahun depan,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Akauntan Antarabangsa di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chua Tee Yong dan Presiden Institut Akauntan Malaysia (MIA) Johan Idris.

Persidangan anjuran MIA selama dua hari itu disertai lebih 2,000 peserta termasuk dari negara luar.

Sementara itu, Najib berkata, MIA melalui rangkaian yang ada boleh berperanan dalam memastikan GST dapat dilaksanakan dengan baik.

Beliau berkata, MIA boleh memberi sokongan melalui keupayaan dan peluang yang ada dalam memastikan syarikat di negara ini mendaftar dengan GST.

“MIA misalnya boleh memberi sokongan perniagaan dan dalam kedudukan unik serta peluang yang ada boleh membantu syarikat di negara ini mendaftar seterusnya GST sedia dilaksanakan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, permintaan untuk akauntan profesional akan meningkat pada masa depan apatah lagi dengan pelaksanaan Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) yang akan menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

“Saya menjangkakan pelaksanaan ETP ini akan mengukuhkan bidang akauntan profesional ini dan kita meneruskan dasar untuk membangunkan profesional menerusi standard yang diterima pakai di peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata, dalam mendepani cabaran ekonomi dunia, firma perakaunan juga tidak terkecuali namun beliau yakin bidang itu dapat melakukannya dengan baik.

“Dalam ekonomi dunia hari ini, akauntan juga perlu bersaing termasuk di pasaran global dan jika syarikat dari negara ini ke peringkat global, perkhidmatan mereka perlu berkelas dunia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 November 2014 @ 5:14 AM