AZLEE menunjukkan kereta yang ditemui selepas penahanan suspek.
Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
azimfitri@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Seorang penjenayah tua dikenali sebagai ‘Pak Long’ memerlukan masa kurang satu minit untuk memecah masuk serta melarikan kereta hanya bermodalkan pengikir besi dan dawai.

Suspek berusia 62 tahun itu dikesan hanya menggemari kereta model lama Perodua Kancil untuk dilarikan sebelum komponen dan enjin kenderaan itu dijual untuk menyara hidup.

Difahamkan, suspek yang sudah mempunyai cucu itu sudah melarikan 13 Perodua Kancil serta sebuah kereta Mini Cooper sejak bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Muhammad Azlee Abdullah berkata, suspek terbabit baru selesai menjalani hukuman penjara empat bulan lalu.

Menurutnya, suspek bagaimanapun masih tidak insaf, sebaliknya terus mengulangi jenayah sama sebaik dibebaskan dari penjara.

“Lelaki itu menjadikan kereta yang diletakkan di tepi jalan di sekitar kawasan perumahan kos rendah sebagai sasaran.

“Dia hanya mengambil masa kurang satu minit untuk melarikan kereta menggunakan pengikir besi dan dawai yang diubah suai untuk membuka pintu kenderaan,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya, semalam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 November 2014 @ 5:13 AM