MUHYIDDIN melawat calon yang menduduki peperiksaan SPM di SMK Kiaramas. Turut hadir Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Datin Nawal Salleh (kanan).

Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan memberi jaminan tiada kes kebocoran kertas soalan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sepanjang tempoh peperiksaan yang bermula semalam.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bagi mengekang insiden kebocoran kertas peperiksaan seperti yang berlaku ketika Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tempoh hari, kementerian mengambil langkah drastik memasang kamera litar tertutup (CCTV) di semua 562 bilik kebal di seluruh negara.

“Selepas insiden tempoh hari (kebocoran soalan UPSR), terdapat beberapa langkah segera diambil, semua bilik kebal sudah dipasang dengan CCTV.

“Malah, kita turut memperketatkan kawalan keselamatan termasuk cara penyediaan soalan sehingga pembungkusan. Jika ada berlaku diusik, ia boleh dikenal pasti bungkusan tertentu dan dengan adanya cap jari, kita dapat mengenal pasti kebocoran berlaku di setiap aliran dan perjalanan kertas soalan,” katanya selepas meninjau hari pertama peperiksaan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kiaramas, di sini, semalam.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, kementerian juga turut mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika penghantaran kertas soalan ke pusat peperiksaan.

“Persediaan sewajarnya juga diambil di negeri yang berkemungkinan menghadapi banjir bagi memastikan peperiksaan dapat diteruskan dalam keadaan yang agak sempurna,” katanya.

Sementara itu dalam majlis berasingan, Timbalan Menteri Pendidikan II P Kamalanathan berkata, beliau sedia mempertimbangkan cadangan untuk menambah bilangan bilik kebal yang menyimpan kertas peperiksaan di seluruh negara dalam usaha menambah baik sistem peperiksaan di negara ini.

Menurut beliau, setakat ini terdapat 562 bilik kebal di seluruh negara, namun hanya 380 beroperasi yang digunakan untuk menyimpan kertas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini kerana selebihnya berkemungkinan terletak di lokasi yang jauh daripada pusat peperiksaan.

Sebanyak 455,839 calon SPM di 3,655 pusat peperiksaan seluruh negara mengambil SPM tahun ini, daripada jumlah itu, 20 daripada mereka adalah calon berkeperluan khas terencat akal, buta (23), bisu (1), pekak (208), rabun (134), spastik (26) dan lain-lain kecacatan (645).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 November 2014 @ 5:11 AM