ULAR sawa sepanjang empat meter ditemui dalam parit.

Klang: Penduduk di Jalan Berangan, Kampung Padang Jawa, di sini, terkejut selepas menemui seekor ular sawa sepanjang empat meter dalam parit, semalam.

Ular sawa itu ditemui penduduk kira-kira jam 7.45 pagi yang kebetulan melalui kawasan berkenaan.

Seorang penduduk, V Peru, 48, berkata, dia yang dalam perjalanan ke tempat kerja berasa pelik selepas melihat beberapa penduduk kampung berkumpul di tepi parit berkenaan.

“Pada mulanya saya sangka ada kemalangan kerana melihat ramai penduduk berkumpul di tepi jalan, tapi terkejut apabila melihat seekor ular sawa di dalam parit.

“Sejak menetap di kawasan ini lebih 30 tahun lalu, ini kali pertama saya melihat ular sawa sebesar itu. Mujur ia ditemui di dalam parit dan tidak masuk ke rumah penduduk,” katanya, semalam.

Menurutnya, dia menghubungi talian kecemasan untuk tindakan selanjutnya.

“Sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Klang datang dan menangkap reptilia itu,” katanya.

Sementara itu, jurucakap JPAM Klang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 8.08 pagi sebelum sepasukan pegawai dan anggota bergegas ke lokasi penemuan reptilia itu.

Menurutnya, ular itu diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 November 2014 @ 5:06 AM