ANGGOTA Polis Marin mengangkat mayat mangsa karam bot tunda di jeti Polis Marin Padang Lalang, semalam.

Kuantan: Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menjumpai dua lagi mayat mangsa bot tunda karam selepas dilanggar kapal tangki minyak di perairan Kuantan, 9.1 batu nautika dari Tanjung Gelang, dekat sini, Khamis lalu.

Mayat pertama belum dikenal pasti identiti itu ditemui nelayan jam 7.30 pagi semalam, kira-kira 11 batu nautika dari Tanjung Gelang, dekat sini, sebelum diserahkan kepada Agensi Penguat Kuasa Maritim Malaysia (APMM) dan dibawa ke Pengkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Tanjung Gelang.

Komander Polis Marin Wilayah Tiga Asisten Komisioner Azmi Ibrahim berkata, mayat kedua pula ditemui anggota bot ronda PA52 Polis Marin Pahang jam 10 pagi semalam, di lokasi 11.5 batu nautika dari Tanjung Gelang, iaitu dua batu nautika dari lokasi bot berkenaan karam.

“Selepas menerima maklumat berhubung penemuan mayat berkenaan, kita membawa mangsa yang terselamat, Martins Sembiring, 30, ke lokasi bagi tujuan pengecaman.

“Mayat dibawa ke Jeti Polis Marin di Padang Lalang, di sini, sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Beliau berkata, mayat lengkap berpakaian ditemui terapung dikenal pasti sebagai seorang kru bot dikenali sebagai Ewan, 26, bertugas sebagai jurutera kedua bot tunda terbabit.

Identiti mayat berkenaan juga disahkan bapa mentuanya yang turut berada di jeti.

Sebelum ini satu mayat sudah ditemui jam 1.30 tengah hari kelmarin oleh anggota APMM 11 batu nautika dari Tanjung Gelang, namun identitinya masih belum dikenal pasti.

Azmi berkata, operasi SAR sejak 30 Oktober lalu membabitkan dua pegawai dan 22 anggota termasuk enam penyelam menggunakan tiga bot dan kawasan pencarian diperluaskan kepada 32 batu nautika dari lokasi kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 November 2014 @ 7:56 AM