Kuala Lumpur: Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri mendoakan kejayaan pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hari ini.

Datuk Seri Najib Razak dalam twitternya semalam mendoakan kejayaan semua calon yang terbabit.

Harapan yang sama diluahkan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataannya yang berharap calon dapat melakukan yang terbaik dan mencapai kejayaan cemerlang.

Muhyiddin berkata, Kementerian Pendidikan membuat persiapan rapi supaya peperiksaan yang bermula hari ini berjalan lancar.

“Kepada pelajar, lakukanlah yang terbaik. Buat persediaan yang mencukupi dan hadapi peperiksaan dengan tenang. Insya-Allah, anda semua bakal beroleh kejayaan.

“Di kesempatan ini, saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih di atas segala pengorbanan dan tunjuk ajar yang diberikan oleh guru,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan turut mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa yang tanpa jemu memberikan dorongan serta sokongan kepada anak mereka yang bakal menduduki peperiksaan hari ini

Seramai 455,839 pelajar di seluruh negara akan menduduki peperiksaan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 November 2014 @ 7:00 AM