ABDUL Sukor (kiri) turut didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen.

Seremban: Seorang pengurus tanah rancangan Felda dihukum penjara 14 hari dan denda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam terhadap dua tuduhan pindaan membuat tuntutan palsu berkaitan kontrak kerja pembersihan parit dan sempadan yang tidak wujud membabitkan nilai RM6,000.

Hakim Kamarudin Kamsun menjatuhkan hukuman itu terhadap Abdul Sukor Ismail, 50, yang bertugas di Felda Palong 3, Jempol selepas didapati bersalah terhadap tuduhan berkenaan.

Menurutnya, selepas meneliti keterangan bersumpah saksi pembelaan iaitu tertuduh sendiri serta hujahan bertulis kedua-dua pihak, mahkamah mendapati tertuduh gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

“Dengan ini, mahkamah mensabitkan tertuduh dengan pertuduhan dan dijatuhi hukuman penjara 14 hari dan denda RM15,000 bagi setiap tuduhan atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda. Hukuman penjara berjalan serentak dari tarikh hukuman,” katanya.

Abdul Sukor didakwa dengan niat memperdaya majikannya apabila mengemukakan dua tuntutan palsu menggunakan Sijil Bayaran Kontrak Kerja Pertanian berkaitan pembersihan parit dan sempadan di dua kawasan seluas 38.60 dan 35.59 hektar yang sebenarnya tidak pernah dilakukan.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di pejabat Felda Palong 3 antara 31 Disember 2011 hingga 5 Januari 2012, yang didakwa mengikut Seksyen 18, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Nurdiyanah Mohd Nawawi manakala tertuduh diwakili Siti Huzaifah Abdul Talib.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 November 2014 @ 5:15 AM