Kuala Lumpur: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sentiasa membuat perundingan dengan pemilik laman media sosial di Amerika Syarikat untuk menutup akaun yang disyaki cuba menyebarkan elemen pengganasan dan menyentuh sensitiviti kaum serta agama.

Pengerusinya Datuk Mohamed Sharil Tarmizi memberitahu BERNAMA, pihaknya akan membuat permohonan kepada Facebook dan Youtube daripada Google Inc untuk menutup akaun atau tayangan video yang disiasat Polis Diraja Malaysia jika didapati bahan tersebut mempunyai niat untuk menghasut rakyat Malaysia menyertai aktiviti militan.

Beliau berkata pihaknya juga, melalui satu pasukan khas, turut membantu polis mengesan suspek yang cuba mencetuskan ketegangan dalam negara dengan menyentuh isu berkaitan kaum dan agama.

“Bagaimanapun kita hanya boleh memohon kepada mereka (pemilik laman sosial) dan langkah seterusnya adalah bergantung kepada keputusan mereka. Hakikatnya kita tidak boleh menyekat kemasukan media sosial dan Internet,” katanya.

Beliau mengulas dakwaan pihak tertentu sebelum ini bahawa SKMM lambat bertindak dalam menutup akaun dan video yang boleh menggugat ketenteraman awam.

Kelmarin, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semasa membentangkan Kertas Putih ‘Ke Arah Menangani Ancaman Kumpulan Islamic State (IS)’ di Dewan Rakyat merayu sokongan rakyat terhadap usaha membendung ideologi kumpulan militan IS dan mencadangkan undang-undang baru bagi membanteras pembabitan rakyat Malaysia dalam aktiviti militan dan pengganasan.

Mohamed Sharil berkata, pihaknya tidak boleh bertindak menutup akaun individu tertentu ataupun menyekat kemasukan video, kerana jika ingin berbuat demikian, negara terpaksa menyekat keseluruhan kemasukan Facebook dan Youtube.

Beliau berkata, tindakan itu tidak sejajar dengan dasar negara dalam memberikan kebebasan Internet dan hak kebebasan bersuara.

Justeru, katanya, langkah terbaik ialah dengan mendidik masyarakat di negara ini mengenai penggunaan bijak Internet. -BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 November 2014 @ 7:05 AM