Kuala Lumpur: Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) menjalankan operasi pemotongan bekalan air di enam kawasan di negeri itu bulan depan dan menasihatkan pengguna segera menjelaskan bayaran bil air tertunggak.

Kawasan yang terbabit ialah Petaling, Klang/Shah Alam, Hulu Langat, Sepang, Hulu Selangor dan Sabak Bernam.

Syarikat itu dalam kenyataan semalam, berkata, pengguna yang bekalan air mereka dipotong dikenakan caj pemotongan RM35 dan caj penyambungan semula RM35 sebelum penyambungan dibuat.

Caj itu bukan denda atau penalti, tetapi caj tetap perkhidmatan bagi pemotongan dan penyambungan semula bekalan air seperti diwartakan kerajaan Selangor di bawah Enakmen Pembekalan Air 1997 iaitu Kaedah-kaedah Bekalan Air (Bayaran) Selangor 2006 dan masih diguna pakai. -BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 November 2014 @ 5:38 AM