MD Jati (gambar kecil) maut selepas kereta dipandunya merempuh tiang telekomunikasi.

Kuala Berang: “Hampir dua bulan saya tidak menemuinya. Saya terkejut apabila mengetahui adik meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya,” kata Kasmani Awang, 55, dari Kampung Alor Limbat, Marang.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi semalam, Md Jati Awang, 34, maut apabila kereta Perodua Kancil dipandunya terbabas lalu melanggar sebuah motosikal dan tiang telekomunikasi di Kilometer 46, Jalan Kuala Terengganu-Bukit Besi berhampiran Kampung Peroh di sini.

Kasmani berkata, adiknya tinggal bersendirian di rumah pusaka arwah bapa mereka di Kampung Pela di sini, selepas berpisah dengan isterinya beberapa tahun lalu.

“Saya terkejut apabila menerima panggilan memaklumkan insiden itu sebelum bergegas ke Hospital Hulu Terengganu (HHT).

“Kali terakhir saya bertemu arwah adik ketika menguruskan jenazah ibu saudara yang meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik HHT di sini, semalam.

Kakak ipar mangsa, Aminah Ismail, 63, berkata, arwah mungkin mahu ke kedai makan berikutan adik iparnya itu tinggal bersendirian.

“Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Alor Limbat, Marang petang ini (semalam),” katanya.

Sementara itu Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Asisten Superintendan Mohd Rosli Mohd Amir berkata, kejadian berlaku apabila mangsa terbabas ke kanan jalan.

“Kereta dipandu mangsa kemudian melanggar motosikal yang diletakkan di depan sebuah kedai makan sebelum merempuh sebatang tiang telekomunikasi.

“Mangsa maut akibat parah di kepala dan beberapa bahagian badan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 November 2014 @ 7:26 AM