KENDERAAN yang dinaiki suspek tersadai di Taman Melawati, semalam.

Ampang: Penjenayah ‘otai’ Geng Mamak berusia 59 tahun yang juga antara 10 anggota asal kumpulan itu maut ditembak polis selepas lebih 25 tahun menjadi buruan pihak berkuasa.

Dalam kejadian jam 1.45 petang semalam, suspek ditembak di dada berhampiran kawasan tempat letak kenderaan di Lorong Sarawak, Taman Melawati di sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata, suspek dikenal pasti sebagai Anuar Osman, anggota asal kumpulan penjenayah yang ditubuhkan di Kuala Kangsar, Perak oleh empat adik beradik sekitar awal 90-an dan terbabit dalam 200 kes rompakan.

Dalam kejadian itu, seorang lagi rakan suspek berusia 39 tahun turut ditembak polis di pinggang dan dihantar ke Hospital Ampang untuk menerima rawatan.

“Kedua-dua suspek itu dipercayai merancang untuk melakukan jenayah samun di sekitar Lembah Klang.

“Polis melalui Bahagian Risikan, Operasi dan Rekod (D4) dan Cawangan Jenayah Berat (D9) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman mula membuat pemantauan ke atas suspek sejak Sabtu,” katanya.

Menurutnya, pasukan polis yang sedang membuat siasatan di kawasan itu menemui kereta model Volkswagen Jetta dipercayai dinaiki suspek di kawasan itu.

“Pemeriksaan polis terhadap nombor plat kereta itu mendapati ia adalah palsu.

“Anggota polis kemudian cuba menahan kereta dinaiki suspek itu, namun penjenayah bertindak agresif merempuh kereta polis,” katanya.

Menurutnya, suspek kemudian cuba mengundurkan kereta, namun berjaya dihalang dua kereta polis yang melakukan hadangan dari depan dan belakang.

“Seorang pegawai polis cuba menahan suspek namun penjenayah melepas beberapa das tembakan menyebabkan mangsa cedera di tangan kiri dan kanan.

“Susulan itu polis terpaksa membalas tembakan menyebabkan salah seorang penjenayah maut dan seorang lagi cedera terkena tembakan di pinggang,” katanya.

Mohd Adnan berkata, pemeriksaan di dalam kereta suspek turut menemui tujuh parang, kapak, pemotong besi, topeng muka, sepucuk pistol dan 15 keping plat kenderaan palsu.

“Polis turut menemui jaket polis yang dipercayai digunakan penjenayah untuk melakukan penyamaran.

“Siasatan juga mendapati suspek yang ditembak mati mempunyai 24 rekod jenayah lampau membabitkan kes samun, curi kereta dan pecah rumah,” katanya.

Menurutnya, polis percaya masih ada saki-baki kumpulan itu dan akan berusaha memburu mereka.

“Ada kemungkinan suspek cuba merekrut ahli baru untuk melakukan jenayah selepas Geng Mamak tumpas dan mula berpecah awal tahun 2000.

“Malah, pengasas Geng Mamak Mohd Yusof Abu Bakar, 50, yang berjaya melarikan diri dari tahanan polis pada 29 September 2001 di Ayer Keroh, Melaka juga gagal dikesan sehingga kini menyebabkan empat anggota polis yang mengendalikan kes itu dipecat ketika itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 November 2014 @ 7:12 AM