Khazali (tengah) dan Ramli (kanan) menunjukkan rokok yang dirampas.
Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


Johor Bahru: Taktik satu sindiket rokok cuba menyeludup rokok putih ke negara ini menggunakan dua kontena di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Gelang Patah, di sini Sabtu lalu berjaya digagalkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor.

Hasil pemeriksaan ke atas dua kontena berkenaan, anggota penguat kuasa JKDM Johor menemui 986,000 bungkus rokok putih jenama Modeng yang dianggarkan bernilai RM11.51 juta termasuk cukai.

Kejayaan bermula apabila JKDM mengenal pasti borang daftar muatan yang diubah membabitkan dua kontena yang dibawa masuk menggunakan sebuah kapal dari Pelabuhan Singapura ke Pelabuhan Tanjung Pelepas.

Ketua Pengarah JKDM Datuk Seri Khazali Ahmad berkata, anggota penguat kuasa JKDM Johor membuat semakan daftar muatan masuk sebuah kapal yang membawa dua kontena itu di pejabat Pihak Berkuasa Zon Bebas Pelabuhan Tanjung Pelepas jam 12.35 tengah hari, Jumaat lalu.

Katanya, hasil semakan mendapati kontena itu diimport sebuah syarikat beralamat di Johor Bahru yang mengisytiharkan perniagaan mereka sebagai pengeluar pelbagai barangan kilang.

“Bagaimanapun, hasil siasatan awal ke atas alamat pengimport itu mendapati premis di alamat berkenaan sebuah syarikat yang menjalankan perniagaan logistik.

“Berikutan itu, pada Sabtu lalu jam 10.30 pagi, kami membuat pemeriksaan ke atas kedua-dua kontena itu dan mendapati ia berisi 19.72 juta batang rokok putih bernilai RM1.58 juta dengan cukai RM9.93 juta,” katanya dalam sidang media yang turut dihadiri Pengarah JKDM Johor, Datuk Ramli Johari di Menara Kastam Johor di sini, semalam.

Menurutnya, kedua-dua kes ini disiasat mengikut Seksyen 26 Akta Zon Bebas dan dibaca bersama Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Beliau berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti ejen penghantaran yang terbabit dan cara mereka menipu daftar muatan masuk berkenaan.

“Kami percaya borang daftar muatan itu diubah setiap kali tiba di mana-mana pelabuhan bagi mengaburi mata pihak berkuasa, bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Khazali berkata, sejak Januari sehingga Oktober lalu, JKDM Johor berjaya mematahkan 471 kes penyeludupan rokok, minuman keras serta mercun membabitkan nilai RM20.51 juta dengan cukai RM51.8 juta.

Katanya, 279 kes tangkapan dilakukan dan 176 kes didakwa ke mahkamah berbanding 116 kes dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 November 2014 @ 5:13 AM