Kuala Lumpur: Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ MAIWP) yakin untuk mencapai sasaran pungutan zakat RM550 juta pada Disember ini.

Penolong Pengurus Besar Operasi Luar PPZ MAIWP, Khairulazhar Samsudin berkata berdasarkan peningkatan kutipan dan bilangan pembayar zakat semasa, pihaknya yakin bahawa angka itu akan dapat dicapai menjelang 31 Disember nanti.

“Insya-Allah, ini juga berdasarkan kepada kesedaran dan peranan yang dimainkan oleh semua pihak. Disebabkan itu juga, kita memudahkan masyarakat dengan menyediakan pelbagai medium pembayaran seperti menggunakan pembayaran-dalam-talian melalui akaun bank dan kad kredit berasakan syariah, potongan gaji atau melalui kaunter bergerak PPZ MAIWP,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mini Karnival Imarah Masjid Saidina Hamzah, Kampung Batu Muda di Jalan Ipoh, disini, semalam.

Katanya lagi, kesedaran untuk membayar zakat kini sudah boleh mula dilihat pada masyarakat Islam di negara ini namun keterbatasan masa atau tidak tahu bagaimana untuk menunaikan ibadah Rukun Islam ketiga itu menyebabkan ada diantaranya mengambil sikap sambil lewa untuk berzakat.

“Kita dapat lihat disini bahawa kesedaran terhadap berzakat itu sudah ada namun tiada penanda aras atau petunjuk kepada masyarakat untuk memberitahu bahawa berzakat ini adalah wajib oleh itu kerjasama kita dengan pihak masjid, pusat komuniti atau pusat penjaja melalui program seperti ini dapat mengerakkan kesedaran,” katanya lagi.

Beliau menjelaskan, pihaknya menjangkakan kaunter PPZ MAIWP akan terus dipenuhi orang ramai untuk berzakat pada bulan hadapan dan beberapa kaunter PPZ MAIWP beroperasi setiap hari termasuk cuti umum.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 November 2014 @ 5:07 AM