KERETA mangsa remuk teruk dalam nahas awal pagi semalam.
Oleh Syazwan Msar
am@hmetro.com.my

Kuala Lipis: Hanya dalam tempoh 20 hari saja tujuh kematian dicatatkan membabitkan dua keluarga yang dalam perjalanan pulang ke kampung halaman masing-masing di laluan Kuala Lipis-Merapoh, dekat sini, sekali gus menimbulkan persoalan tahap keselamatan jalan berkenaan kepada pengguna jalan raya.

Jalan berkenaan yang cukup popular sebagai ‘laluan berdarah’ kepada pengguna yang ingin ke Kelantan pernah mencatatkan jumlah kematian yang besar apabila mengorbankan 14 penumpang bas pada 30 November 2003.

Malah, jalan Kuala Lipis-Merapoh, di sini, turut disenaraikan sebagai antara enam laluan paling berbahaya di negara ini oleh sebuah laman sosial berdasarkan keadaan jalannya selain rekod kemalangan pernah dicatatkan.

Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Pahang Nur Ayuni Mahamad Zin berkata, memang diakui beberapa laluan di kawasan itu mendedahkan pengguna kepada kemalangan seperti kejadian menimpa tiga beranak yang maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka bertembung dengan bas ekspres di Kilometer 92, Jalan Lipis-Merapoh, pada 3 November lalu.

“Selain itu, sikap pemandu dan masa pemanduan itu turut mendedahkan kepada risiko kemalangan, kebanyakan kejadian berlaku pada waktu malam dan awal pagi, mungkin badan mereka sudah penat menyebabkan tidak dapat memberikan fokus kepada pemanduan.

“JKJR menyiasat kemalangan awal pagi tadi (semalam) dan meninjau lokasi kejadian bagi membuat penilaian sebelum mencadangkan langkah penambahbaikan di kawasan itu,” katanya, di sini, semalam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 November 2014 @ 5:17 AM