PELAJAR Sekolah Menengah Ugama (Arab) Al Falah, Kampung Siram, Kuala Terengganu selesai menduduki peperiksaan SPM mengharung air di sekolah mereka.

Rantau Panjang : “Walaupun banjir, saya tetap duduki peperiksaan ini kerana ia masa depan saya,” kata calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2014 Noraihan Nordin, 17.

Pelajar Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Al-Falah, Kampung Siram, di sini, ditemui sebaik selesai menduduki kertas 1 dan 2 bagi subjek Sains.

Menurutnya, banjir di pe karangan sekolah bukan halangan untuk dia tidak ke sekolah bagi menunaikan tanggungjawab itu memandangkan semua persiapan dilakukan sebelum ini.

“Sekolah terletak dalam kawasan banjir begitu juga rumah saya di Kampung Merbau, Pohon Tanjung, di sini.

“Saya melakukan persiapan awal dengan tinggal di asrama sekolah bagi memudahkan untuk ke dewan peperiksaan di tingkat atas.

“Jadi tidak sukar untuk saya bergerak hanya perlu harung air sedikit saja,” katanya yang akan menduduki subjek Perdagangan dijadualkan pada Selasa depan.

Bagi bapanya, Nordin Hamat, 57, sebagai anak jati Rantau Panjang, dia sekeluarga sudah biasa menghadapi fenomena banjir.

“Cuma kebetulan ketika ini, ia jatuh pada tarikh anak menduduki peperiksaan, namun ia bukan masalah besar hingga menghalang dia mengambil SPM.

“Kami sediakan bekalan untuk dia tinggal di asrama sehinggalah peperiksaan selesai,” katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 November 2014 @ 5:17 AM