ROSNI membersihkan rumahnya yang dimasuki air hujan akibat atap diterbangkan angin.

Kuala Terengganu: “Ribut yang berlaku secara tiba-tiba menerbangkan atap dan merosakkan beberapa dinding rumah.

“Malah, serpihan atap yang jatuh nyaris mengenai anak sulong kami,” kata Mohd Khairul Hawi, 28, dari Kampung Kubur, di sini.

Dia menceritakan detik cemas rumahnya dipukul ribut kepada Harian Metro, semalam.

Katanya, kejadian kira-kira jam 1.15 pagi itu menyebabkan atap pada bahagian ruang tamu dan beberapa dinding rumah rosak teruk selain ruang dalam rumah rumah dimasuki air dan merosakkan banyak barang berharga.

Khairul berkata, ketika kejadian dia bersama isteri dan dua anaknya sedang tidur di bahagian ruang tamu rumah sebelum dikejutkan bunyi dentuman kuat.

“Kami terkejut apabila atap rumah diterbangkan angin, malah serpihannya jatuh dan hampir mengenai anak sulong, Norania Kamelia (empat tahun).

“Saya mengucap panjang apabila melihat serpihan atap hampir mengenai anak dan bersyukur tiada yang mengalami kecederaan akibat kejadian itu,” katanya yang berkerja sebagai pengawal keselamatan.

Menurutnya, bimbang kejadian sama berulang, dia bersama isteri dan anak-anak menyelamatkan diri ke bahagian dapur.

“Kami merancang tinggal di rumah saudara terdekat sementara menunggu kerosakan rumah dibaiki. Bagaimanapun, saya akan tetap berada di rumah kerana bimbang rumah dipecah masuk.

“Apa yang membimbangkan, kami tidak ada cukup wang untuk membaiki kerosakan itu dan berharap pihak berwajib dapat membantu,” katanya.

Isterinya, Rosni Abdul Ghani, 27, mengakui masih trauma dan bimbang untuk terus menetap di situ.

“Rumah kami berdekatan pantai dan kerana itu mudah dipukul ribut. Saya harap kejadian itu tidak berulang kerana ia sangat menakutkan dan mampu mencederakan kami sekeluarga,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit Bazlan Abdul Rahman berkata, dia sudah mengarahkan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) mengambil tindakan segera membaiki kerosakan pada rumah penduduk secepat mungkin.

“Saya berharap kerjasama penduduk memaklumkan sebarang masalah dihadapi dan akan cuba membantu secepat mungkin,” katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 November 2014 @ 5:16 AM