CHAN menunjukkan cek palsu yang digunakan sindiket penipuan terancang atas namanya.
Oleh Fardy Bungga
fardy@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Satu sindiket penipuan terancang dikesan mempunyai kepakaran memalsukan Mykad dan cek milik mangsa sebelum membuat pengeluaran wang haram berjumlah puluhan ribu ringgit.

Suspek dikesan terlebih dahulu menggantikan kad sim telefon bimbit milik mangsa di syarikat telekomunikasi bagi memastikan penipuan itu tidak dikesan pihak bank dan mangsa.

Dalam kejadian terbaru, seorang ahli perniagaan wanita terkejut apabila mendapati duit miliknya sebanyak RM60,000 yang disimpan di dalam akaun bank lesap begitu sahaja.

Mangsa yang dikenali sebagai Chan, 35, berkata, kejadian berlaku pada 9 September lalu apabila dia mendapati talian telefon bimbit miliknya tidak berfungsi sepanjang hari.

“Saya kemudian pergi ke syarikat telekomunikasi sebelum mereka memberitahu bahawa satu kad sim penggantian sudah diberikan kepada saya melalui seorang lelaki.

“Lelaki terbabit dikatakan mempunyai surat kebenaran yang ditandatangi oleh saya sendiri termasuk MyKad saya,” katanya.

Dia bagaimanapun terkejut apabila mendapati salinan MyKad palsu digunakan suspek tertera nama, nombor dan alamat yang sama dengan MyKad miliknya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 November 2014 @ 5:21 AM