NAJIB menyaksikan pengagihan keuntungan yang disampaikan oleh Arshad (dua dari kiri) kepada Hamad (dua dari kanan).
Oleh Siti Fatimah Hassan
sfhassan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Yayasan Ekuiti Nasional mengagihkan sebanyak RM500 juta daripada keuntungan Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) menerusi Yayasan Pelaburan Bumiputra (YPB) untuk dimanfaatkan masyarakat Bumiputera yang memiliki unit amanah diurus Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Pengagihan keuntungan itu diumumkan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Yayasan Ekuiti Nasional Datuk Seri Najib Razak, semalam.

Beliau berkata, PNB dipilih untuk membantu pengagihan pulangan Ekuinas kerana ia adalah landasan paling sesuai berdasarkan 10 juta rakyat Bumiputera kini memiliki unit amanah yang diuruskan oleh institusi berkenaan.

Katanya, pengagihan yang diterima PNB pula akan digunakan untuk disimpan dan membuat pelaburan lanjutan supaya jumlah berkenaan akan berkembang dan boleh dinikmati pemegang unit secara mampan dalam tempoh jangka masa panjang.

“Ini adalah selaras dengan peranan PNB sebagai ‘custodian’ atau penaung yang bertanggungjawab memelihara serta mengembangkan ekuiti dan kekayaan kaum Bumiputera.

“Kerajaan berharap inisiatif ini berupaya menggalakkan budaya melabur dalam kalangan masyarakat Bumiputera selain memastikan kekayaan Bumiputera dapat dipelihara dan terus berkembang bagi meneruskan agenda Bumiputera,” katanya ketika mengumumkan pengagihan keuntungan Ekuinas menerusi PNB di Parlimen, di sini, semalam.

Majlis turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, Pengerusi Ekuinas Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PNB Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Selain itu, Najib berkata, beliau gembira dengan rekod pencapaian memberangsangkan yang ditunjukkan oleh Ekuinas selepas lima tahun beroperasi.

Katanya, menerusi dana yang diperuntukkan kerajaan, Ekuinas setakat ini membuat 30 pelaburan dalam syarikat berpotensi tinggi tempatan pada jumlah lebih RM2.3 bilion.

“Ekuinas berjaya membentuk syarikat peneraju dalam beberapa industri seperti Pendidikan dan Minyak dan Gas seperti syarikat Icon Offshore Berhad iaitu syarikat OSV terbesar dalam negara dan berjaya disenaraikan di Bursa Malaysia pada Jun lalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 November 2014 @ 5:20 AM