PETUGAS lebuh raya mengalih motosikal mangsa yang maut nahas, semalam.
Oleh Arifin Salleh
am@hmetro.com.my

Alor Gajah : Seorang anggota tentera maut dalam keadaan mengerikan apabila putus kaki kiri selepas digilis treler di Kilometer 221.9 Lebuhraya PLUS, arah utara, semalam.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, mangsa, Faizal Yusuf, 26, berasal dari Banting, Selangor menunggang motosikal Yamaha dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur sebelum dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan dan melanggar sebuah kereta berhenti di lorong kecemasan.

Mangsa yang bertugas di 21 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Kem Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan tercampak ke kanan lebuh raya dan dikatakan cuba bangun, tetapi dilanggar treler.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk dibedah siasat.

Pemandu kereta, Abd Samad Zainudin, 62, berkata, dia memberhentikan keretanya di lorong kecemasan kerana rosak.

“Saya tidak sempat keluar dari kereta untuk melihat apa yang rosak. Tiba-tiba saya berasa gegaran kuat dan kereta bergerak ke depan sebelum mendapati satu objek melambung dari belakang kereta ke kanan lebuh raya.

“Saya terkejut apabila meliha objek itu adalah seorang lelaki dan paling memilukan saya melihat mangsa digilis treler,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Muhammad Ismail Muhammad Yusuf mengesahkan menerima laporan kemalangan itu dan kes disiasat Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 November 2014 @ 5:18 AM