ROKOK seludup yang dirampas polis.
Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
azimfitri@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Tindakan pelik seorang wanita yang kerap dilihat memikul bungkusan plastik sampah seawal jam 5 pagi akhirnya membongkar kegiatan suspek menjual rokok seludup.

Wanita berusia 44 tahun itu dikesan mengedar dan menghantar rokok seludup kepada peniaga di sekitar kawasan Pasar Pudu, Jalan Pudu di sini.

Kegiatan itu dibongkar selepas sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi memberkas suspek jam 6 pagi semalam.

Suspek ditahan ketika sedang membawa bungkusan plastik sampah dipenuhi pelbagai jenama rokok seludup untuk diserahkan kepada pelanggan.

Sumber polis berkata, polis kemudian menemui sebuah stor yang dijadikan tempat menyimpan rokok seludup beberapa meter dari lokasi suspek ditahan.

“Pemeriksaan di dalam stor itu menemui berpuluh kotak yang diisi dengan rokok seludup dari negara jiran,” katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati wanita warga asing itu mempunyai dokumen perjalanan yang sah namun menyalahgunakannya untuk melakukan jenayah penyeludupan.

“Rampasan rokok itu dianggarkan bernilai RM150,000. Pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung sumber rokok seludup itu diperoleh.

“Kami percaya kegiatan itu sudah dilakukan sejak beberapa bulan lalu, namun kami berjaya menghidunya selepas menerima maklumat awam dan melakukan risikan sejak beberapa hari lalu,” kata sumber polis.

Menurut sumber polis, suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut dan kesemua rokok yang dirampas dibawa ke IPD Dang Wangi untuk tindakan lanjut.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Zainol Samah ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan rampasan lebih 60 karton rokok seludup dari seorang wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 November 2014 @ 5:13 AM