MOHD Adnan (dua dari kiri) menunjukkan barang kes yang ditemui semula.

Shah Alam: Sekumpulan penjenayah yang aktif melakukan samun sejak empat tahun lalu tumpas selepas ditahan sepasukan anggota polis dalam dua serbuan berasingan di Taman Melati, Wangsa Maju dan Taman Samudera, Gombak, Khamis lalu.

Dalam serbuan jam 3.30 pagi itu, lapan ahli kumpulan terbabit termasuk dua wanita dengan seorang daripadanya remaja berusia 16 tahun ditahan bersama barangan hasil samun yang belum sempat dijual.

Kumpulan terbabit yang dipercayai bergerak aktif sejak tahun 2010 itu menyasarkan pemandu wanita sebagai mangsa dan bertindak menghampiri kereta yang dipandu dengan memecahkan cermin kereta serta mengambil barangan berharga mangsa.

Dengan tertangkapnya semua suspek yang berusia antara 16 dan 41 tahun itu, polis berjaya menyelesaikan lapan kes yang dilakukan kumpulan itu antaranya di sekitar Gombak, Rawang, Selayang dan Desa Jaya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata, penangkapan itu susulan daripada kes terbaru dilaporkan seorang mangsa berusia 58 tahun yang disamun ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat Batu Caves pada 17 September lalu.

Katanya, ketika kejadian, mangsa yang juga seorang pesara bersama dua lagi rakannya sedang berhenti di lampu isyarat sebelum tiba-tiba dikejutkan dengan kehadiran dua suspek yang menunggang motosikal bertindak memecahkan cermin kereta Honda Accord miliknya dan melarikan beg tangan mangsa.

“Susulan kes itu, satu pasukan khas ditubuhkan dan hasilnya, pada 25 September lalu, polis berjaya menahan seorang lelaki kira-kira jam 1.30 pagi di stesen minyak Taman Melati Wangsa Maju sebelum hasil soal siasat membawa kepada penahanan tujuh lagi suspek.

“Polis menangkap empat suspek termasuk dua wanita di sebuah unit pangsapuri di Taman Samudera, manakala tiga lagi suspek ditahan di tingkat bawah pangsapuri sama,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Oktober 2014 @ 7:50 PM