Yusmizal Dolah Aling dan Rizanizam Abdul Hamid
am@hmetro.com.my

Seri Kembangan: ‘Malware’ atau virus mudah alih boleh tersebar menerusi perbuatan menggodam yang dilakukan ‘script kiddies’ atau penggodam amatur secara tidak langsung.

Ini kerana walaupun ‘script kiddies’ dilihat tidak memberi kesan besar kepada jenayah siber berbanding penggodam profesional, namun mereka boleh menjadi ‘ejen’ kepada penyebaran ‘malware’ apabila memuat turun perisian tertentu untuk menggodam secara kecil-kecilan.

Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia (Cybersecurity) Dr Amirudin Abdul Wahab berkata, golongan itu perlu diberi kesedaran mereka mungkin boleh mengancam keselamatan pengguna Internet di negara ini.

“Kita khuatir golongan ini tidak sedar perbuatan menggodam yang didorong rasa ingin menunjuk-nunjuk sebenarnya menjadi ‘ejen’ kepada penyebaran ‘malware’.

“Bagi mengatasi masalah ini, kami menasihatkan pengguna Internet supaya sekurang-kurangnya mempunyai perisian antivirus dalam peralatan digital digunakan bagi mengelak menjadi mangsa penjenayah siber,” katanya.

Menurutnya, apa yang membimbangkan pihaknya ialah kebanyakan pengguna terutama telefon pintar langsung tidak mempunyai perisian antivirus sekali gus membuka peluang kepada kehadiran ‘malware’.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Oktober 2014 @ 5:10 AM