PELAJAR melawat gerai pameran Kempen Antibuli Peringkat Kebangsaan, semalam.
Oleh Aizat Sharif
mohd.aizat@hmetro.com.my

Kajang: Murid yang mempunyai sifat pembuli atau cenderung menjadi pembuli perlu diberi sentuhan hati agar mereka mempunyai nilai kemanusiaan tinggi dan perasaan belas ihsan seperti menghormati orang lain.

Timbalan Menteri Pendidikan I Datuk Mary Yap Kain Ching berkata, dalam hal ini, peranan guru dan ibu bapa sangat dituntut bagi mengatasi dan mencegah gejala buli.

“Guru perlu mendekati murid mempunyai personaliti agresif, pemarah, panas baran, suka melanggar peraturan sekolah selain kurang perasaan belas kasihan terhadap orang lain kerana ini merupakan perwatakan awal pembuli,” katanya dalam ucapan Majlis Perasmian Kempen Antibuli Peringkat Kebangsaan 2014 di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Rinching, Semenyih, di sini, semalam.

Katanya lagi, pendedahan terhadap pengawalan emosi dengan baik, matang, stabil dan pemupukan perasaan kasih sayang menjadi tunjang keharmonian bukan saja di peringkat sekolah, malah masyarakat dan negara.

“Gejala buli ini tidak berlaku di hadapan mata guru terutama sekali bagi kelakuan membabitkan sentuhan dan kekasaran fizikal, tetapi ciri pembuli atau mangsa buli dapat dikesan menerusi tingkah laku murid dalam atau luar bilik darjah,” katanya.

Yap berkata, sekiranya masalah ini diambil ringan maka akan wujud masalah disiplin lain lebih serius seperti ponteng sekolah dan bergaduh yang mampu mengakibatkan kecederaan fizikal dan kematian.

Sementara itu, mengulas dengan lebih lanjut ucapan itu, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pengurusan Kaunseling dan Disiplin, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Ab Rahim Othman berkata, selaras dengan kempen yang dilaksanakan, gejala buli ini kini dapat dikurangkan disebabkan kesedaran oleh murid itu sendiri.

“Dari segi peratusan pembabitan murid dalam gejala ini, kita dapat lihat ianya menurun. Jika tahun lepas, ianya menurun kepada 0.03 peratus, tetapi pada enam bulan pertama ini, ianya mencatatkan penurunan 0.02 peratus dan setiap tahun kami akan sentiasa berusaha menurunkan sekurang-kurangnya 0.01 peratus gejala buli ini daripada terus menjadi masalah kepada murid,” katanya

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Oktober 2014 @ 5:06 AM