ANGGOTA penguat kuasa mengambil keterangan Martins berhubung kejadian bot tunda dilanggar kapal minyak di perairan negara, semalam.
Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz
rnorain@hmetro.com.my


Kuantan: Sebuah bot tunda yang didaftarkan di Kuala Terengganu, Terengganu, menjadi mangsa ‘langgar lari’ sebuah kapal tangki minyak sehingga menyebabkan enam anak kapal termasuk kapten dan juruteranya dikhuatiri hilang dalam kejadian di perairan Kuantan, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 5 pagi itu, seorang anak kapal bot warga Indonesia diselamatkan nelayan yang kebetulan berada di tempat kejadian selepas dia terjun ke laut sejurus kejadian.

Bot YTC M5 dipercayai pecah sebelum karam 9.1 batu nautika dari Tanjung Gelang, di sini, berdasarkan penemuan beberapa barangan serta peralatan milik bot berkenaan ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bermula jam 12 tengah hari semalam.

Ketua Penguat Kuasa Maritim Wilayah Timur Laksamana Pertama Maritim Datuk Nasir Adam berkata, pihaknya menemui serpihan kayu, tompokan minyak dan boya penyelamat tertulis YTC M5 di 2.5 batu nautika dari tempat kejadian dan tali tunda pada jarak 4.2 batu nautika.

“Kami menerima panggilan berhubung kejadian jam 11.15 pagi sebelum melakukan operasi SAR membabitkan radius kawasan tujuh batu nautika dari lokasi bot berkenaan dilaporkan dilanggar.

“Mangsa terselamat dikenali sebagai Martins Sembiring, 30, manakala enam anak kapal yang masih hilang berusia dalam lingkungan 20 dan 36 tahun, lima daripadanya adalah warga Indonesia manakala seorang warga tempatan,” katanya dalam sidang media, di sini, semalam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Oktober 2014 @ 5:03 AM