Oleh Wahi Aziz
wahiduzzaman@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur : “Sebelum ini dah pernah kena (gosip) dengan Nomad, sekarang dengan Remy (Ishak) pula. Saya tak suka dan tak seronoklah bila digosipkan macam ini. Saya rasa tak sedap orang komen (buruk) macam-macam hanya kerana saya janda.”

Demikian luahan pelakon popular, Rita Rudaini Mokhtar yang sedih dan terkilan dengan gosip terbaru kononnya dia bercinta dengan pelakon Remy Ishak berikutan tindakannya bergambar dengan anak buah aktor itu, baru-baru ini.

Ketika dihubungi semalam, Rita, 38, berkata, dia kurang selesa dengan gosip yang mengaitkannya dengan lelaki lebih muda kerana ia memberikan persepsi negatif kepadanya yang berstatus ibu tunggal.

“Sudahlah kes mahkamah saya masih berjalan, timbul pula benda-benda macam ini lagi memburukkan keadaan. Saya bukannya budak remaja nak dikaitkan dengan gosip-gosip macam ini lagi.

Maruah saya diperlekehkan bila orang luar komen macam-macam. Tahu sajalah dengan status janda ini orang mudah fitnah macam-macam sesuka hati mereka.

“Ketika ini, hati saya masih tertutup untuk mana-mana lelaki. Kalau betul ada lelaki yang dapat buka hati saya semula, saya sendiri akan berkongsi dengan semua,” katanya.

Difahamkan, gosip yang mengaitkan Rita dengan Remy atau Mohammad Zalimei Ishak, 32, mula diperkatakan berikutan sekeping gambar aktres itu bersama anak buah perempuan aktor terbabit ketika mereka di lokasi penggambaran drama, baru-baru ini.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Oktober 2014 @ 5:22 AM