YUNUS (tengah) bersama kakitangan dan pelajar Sekolah Tahfiz Al-Hidayah.
Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
am@hmetro.com.my

Parit Buntar: Sekolah Tahfiz Al-Hidayah, Tanah Kebun, di sini, memerlukan RM20,000 bagi membiayai kos membaik pulih bumbung tambahan (awning) dan sistem pendawaian elektrik bangunan sekolah itu selepas terjejas teruk dalam kejadian ribut kencang, Jumaat lalu.

Mudirnya, Yunus Alias berkata, dalam kejadian jam 6.15 petang itu, seramai 46 pelajar tahfiz yang sedang berehat di kawasan sengkuap hias sebelum pergi ke dewan makan menikmati makan malam lebih awal daripada kebiasaan.

Menurutnya, sebaik kesemua pelajar berada di dalam dewan makan terbabit secara tiba-tiba hujan lebat disusuli angin kencang sehingga merosakkan atap.

“Kejadian itu mengejutkan saya yang berada di kawasan pejabat dan bimbang mungkin ada pelajar terhempap di bawahnya berikutan kawasan itu tempat pelajar berehat sambil menonton televisyen.

“Selepas diperiksa, saya bersyukur semua pelajar sedang makan malam dan terselamat” katanya ketika ditemui di Pusat Pengajian Umumi Al-Hidayah, di sini, semalam.

Yunus berkata, kejadian itu pertama kali berlaku sejak bangunan sekolah itu disiapkan sepenuhnya tahun lalu.

“Berdasarkan anggaran kos membaik pulih yang dibuat, sekurang-kurangnya RM20,000 diperlukan bagi memastikan sengkuap hias dan sistem pendawaian elektrik dibaik pulih.

“Ruang itu penting kerana menjadi lokasi pelajar tahfiz berkumpul dan berehat di samping lokasi pengunjung surau menikmati hidangan moreh ketika solat Tarawih,” katanya.

Sehubungan itu, pihaknya berharap orang ramai yang prihatin dan ingin membantu supaya dapat menyalurkan sumbangan kepada pengurusan Sekolah Tahfiz Al-Hidayah melalui akaun Bank Muamalat 08010001618718 atau hubungi talian 019-5577895.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Oktober 2014 @ 5:08 AM