PERALATAN shisha yang dirampas.

Melaka: Tindakan peniaga di sebuah gerai dipercayai menggunakan khidmat tonto bagi mengelak diserbu pihak berkuasa tidak berhasil apabila gerainya di Dataran 1Malaysia Klebang, di sini, diserbu sepasukan anggota Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), semalam.

Dalam Ops Shisha jam 1.30 pagi itu, sebanyak lima peralatan shisha yang disediakan di gerai berkenaan dipercayai sebagai daya tarikan kepada pelanggan khususnya remaja dirampas pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit.

Datuk Bandar MBMB Datuk Zainal Abu berkata, operasi dilakukan 15 pegawai dan anggota hasil daripada aduan awam yang diterima dan risikan pihaknya.

“Sebelum ini aduan banyak diterima di kawasan Hang Tuah Mall dan Bukit Beruang yang mana kebanyakannya membabitkan restoran Arab, kali ini aduan diterima di gerai di dataran berkenaan dan dipercayai ia beroperasi sebulan lalu.

“Dalam serbuan itu lima peralatan shisha dirampas dan siasatan awal mendapati pengusahanya berusia 21 tahun berstatus penjaja dan menumpang di gerai berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Menurutnya, rampasan itu susulan pengharaman penggunaan shisha di Melaka seperti yang diputuskan kerajaan negeri dalam mesyuarat Exco pada Julai 2009 kerana kandungannya meragukan dan tiada kawalan.

“MBMB sentiasa melakukan pemantauan bagi memastikan kawasan di bawah seliaannya bebas penjualan shisha dan orang ramai diminta tampil menyalurkan maklumat bagi membanteras kegiatan ini.

“Kami juga tidak teragak-agak untuk mengenakan tindakan tegas termasuk menarik balik lesen peniaga yang didapati menyewakan sebahagian atau keseluruhan premisnya kepada orang lain kerana ia menyalahi peraturan ditetapkan MBMB,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, dalam operasi selama lima jam berakhir jam 5 pagi itu, pihaknya turut mengeluarkan 12 notis pemberitahuan kesalahan dan kompaun terhadap beberapa premis pusat hiburan, pusat snuker dan kafe siber yang diserbu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Oktober 2014 @ 5:06 AM