NAJIB menyampaikan sijil penghargaan kepada Penasihat Perundangan Syariah, Jabatan Peguam Negara, Tan Sri Sheikh Ghazali Abdul Rahman yang dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah 2014.

Putrajaya: Kerajaan menolak sebarang bentuk kegiatan bersifat militan yang secara terang tidak mencerminkan kemurnian Islam sebenar, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, pembabitan pihak tertentu dalam kegiatan militan adalah berpunca daripada tandus pengetahuan mengenai agama Islam.

“Kedangkalan dan kecetekan ilmu hanya menjerumus kepada kancah perbuatan yang jauh menyimpang daripada ajaran dibawa Rasulullah SAW berasaskan al-Quran dan Sunnah.

“Tidak dapat dinafikan panduan, pedoman dan pengajaran menurut Islam sebenar adalah murni, syumul serta aman sifatnya dan dalam hal ini, kita mendengar orang memperdebatkan istilah jihad tanpa memahami maksud yang mendalam.

“Bahkan menyalahtafsirkan pengertian mujahadah sebaliknya, perjuangan dan pengorbanan diajarkan Islam bukan seperti menjadi pengebom berani mati kerana ia dilarang keras di sisi Islam,” katanya berucap sempena Majlis Perhimpunan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1436H/2014.

Hadir sama, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Othman Mustapha.

Tema sambutan Maal Hijrah pada tahun ini ialah ‘Perpaduan Nadi Transformasi Negara’.

Najib berkata, jihad yang lebih afdal atau utama ialah berada di pangkalan iaitu platform pentadbiran dan pemerintahan untuk memakmurkan negara berteraskan Ekonomi Keperluan Rakyat.

Pada masa sama, beliau berkata, dalam konteks Malaysia, pegangan umat Islam di negara ini ialah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan rakyat beragama Islam perlu mengikut ajaran berlandaskan fahaman ini dari segi akidah, syariah dan keperibadian.

“Sebagai umat Islam, kita seharusnya sentiasa berwaspada dan berhati-hati dengan sebarang fahaman lain yang menyongsang dan menyimpang.

“Syukur alhamdulillah, sejak puluhan tahun perkara ini masih terpelihara sekali pun terdapat cubaan yang ingin merosakkan akidah umat Islam di negara ini,” katanya.

Sementara itu, Najib berkata, pendekatan wasatiyyah yang dijadikan asas dalam pentadbiran membawa Malaysia keluar daripada bermacam kemelut dan cabaran sehingga muncul sebagai sebuah negara Islam yang moden dan progresif.

Menurutnya, formula wasatiyyah diamalkan kerajaan merangkumi beberapa elemen tunjang iaitu kesederhanaan, berimbang dan mementingkan kecemerlangan sekali gus membawa pembangunan kepada masyarakat secara menyeluruh berdasarkan ajaran Islam.

“Terbukti pendekatan wasatiyyah menolak fanatik dan fahaman melampau. Sifat ini menggambarkan kejumudan dan kebekuan fahaman seseorang yang tidak boleh melihat secara umum sesuatu isu dibangkitkan dalam masyarakat.

“Ia juga menggambarkan seseorang yang tidak berkemampuan untuk berbincang bagi membandingkan pendapatnya dengan pendapat orang lain untuk mengambil pendapat yang lebih baik berdasarkan dalil dan alasan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, amalan Islam yang ditampilkan Malaysia adalah bersifat sejagat, tidak ekstremis, memahami Islam melalui ilmu pengetahuan dan hukum yang jelas dalam penghayatan penuh sederhana.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Oktober 2014 @ 5:05 AM