ANGGOTA bomba cuba mengeluarkan kanak-kanak 2 tahun (gambar kecil) yang terperangkap dalam MPV.

Melaka: Sepasang suami isteri menempuh detik mencemaskan apabila anak perempuan mereka berusia dua tahun terperangkap di dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki hampir 20 minit di tempat letak kereta sebuah pasar raya di Ayer Keroh di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 10.15 malam itu, kanak-kanak berkenaan dipercayai mengunci pintu Proton Exora terbabit sejurus bapanya keluar dari MPV untuk membuka but bagi menyimpan barang.

Menurut sumber, pasangan berusia 30-an itu dari Kuala Lumpur, dipercayai pulang ke kampung mereka di negeri ini dan singgah di pasar raya berkenaan untuk membeli belah.

“Sebelum kejadian dipercayai lelaki itu bersama anaknya menunggu di dalam MPV manakala isterinya masuk ke dalam pasar raya.

“Sebaik isterinya kembali ke MPV itu, suaminya turun untuk membuka but bagi menyimpan barangan yang dibeli, namun kanak-kanak itu mengunci pintu kenderaan berkenaan,” katanya.

Menurutnya, walaupun dipujuk, kanak-kanak itu enggan membuka pintu sebaliknya semakin aktif dengan menghidupkan lampu, radio dan ketawa apabila melihat ibu bapanya yang berada di luar memanggilnya.

Saksi, Mohd Asyraq Mohd Yusoff, 26, berkata, dia yang ketika itu bersama ibunya ke pasar raya berkenaan dan mencari parkir sebelum melihat pasangan terbabit melihat keadaan MPV mereka dari luar sambil memanggil nama seseorang.

Katanya, bimbang sesuatu yang buruk berlaku, dia menghampiri pasangan itu dan dimaklumkan anak perempuan mereka terperangkap di dalam MPV berkenaan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh Penolong Penguasa Bomba Wan Azlan Wan Abd Jalil berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.23 malam dan seramai tujuh anggota bomba diketuai Pegawai Bomba Kanan II Shahril Zauni ke tempat kejadian dengan sebuah jentera.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Oktober 2014 @ 5:03 AM