Kuala Lumpur : Ahli keluarga penumpang dan anak kapal penerbangan Malaysia Airlines MH370 menuntut pihak kerajaan mendedahkan senarai barangan dibawa di dalam ruang kargo sebelum pesawat itu hilang pada 8 Mac lalu.

Kumpulan Voice370 yang mewakili ahli keluarga penumpang dan anak kapal MH370 dalam satu kenyataan yang diletakkan di laman Facebook (FB) berkata, senarai berkenaan hanya dikeluarkan pada 1 Mei walaupun pesawat MH370 hilang pada 8 Mac.

“Walaupun kita perlu menunggu selama dua bulan namun senarai kargo yang dikeluarkan tidak lengkap,” katanya.

“Sebagai contoh maklumat dikeluarkan pihak INMARSAT dalam satu acara UK Royal Society baru-baru ini. Mereka memberikan log data yang lengkap kepada pihak berkuasa namun pihak berkuasa mendedahkan beberapa maklumat sahaja dan yang lain dirahsiakan,” kata Voice370.

Kumpulan berkenaan menuntut pihak kerajaan dapat mendedahkan maklumat yang lengkap mengenai perkara itu.

“Kita hanya tahu bahawa terdapat 4,566 kilogram (kg) manggis diisi di dalam kargo pesawat MH370 selain bateri lithium,” katanya.

Tambah mereka, terhadapat barang milik NNR Logistic seberat 2,453kg termasuk 221kg bateri lithium-ion manakala baki 2,232kg itu hanya dinyatakan sebagai aksesori radio dan pengecas.

Dari laporan siasatan awal MH370, Voice370 berkata, ia boleh disimpulkan bahawa syarikat penghantar lain turut turut dikaitkan dengan kandungan kargo MH370 adalah Kerry Logistics (2,250kg), Kintetsu Express (646kg), Panalpina (266 kg) dan Malaysia Express (6kg).

Voice370 menuntut kerajaan menyediakan kandungan dan kuantiti yang terperinci mengenai barangan yang berada di dalam kargo pesawat malang itu sebelum ia hilang.

Kumpulan itu juga mahu maklumat bagaimana barang-barang di ruang kargo dibawa masuk.

“Pada ketika ini, kami percaya maklumat ini tidak boleh mengubah apa yang sudah terjadi dan mengubah nasib pesawat ini.

“Malah, ia tidak boleh mengembalikan orang yang kita sayangi.

“Oleh itu kami percaya tindakan pihak berkuasa tidak menyiarkan maklumat adalah tidak berasas kecuali ia adalah satu konspirasi untuk menyembunyikan sesuatu maklumat daripada orang ramai,” tambah kumpulan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Oktober 2014 @ 5:12 AM